Thursday, November 4, 2010

Tuesday, November 2, 2010

Pemberian bonus kepada kakitangan awam bukan satu kemestian

Pemberian bonus kepada kakitangan awam bukan satu kemestian

MERUJUK surat oleh 'Layak Dihargai, Kuala Lumpur' dalam ruangan ini baru-baru ini, saya bersependapat dengan beliau bahawa pemberian bonus sepatutnya hanya untuk mereka yang menjalankan tugas dan amanah dengan baik serta cemerlang. Ia harus bersifat subjektif dan bukan kemestian kepada seluruh kakitangan awam berjumlah 1.2 juta orang.

Namun, setinggi tahniah kepada Presiden CUEPACS, Omar Osman kerana menjalankan kerjanya dengan baik sebagai satu daripada tugas utamanya meminta bonus dan kenaikan gaji daripada kerajaan setiap tahun. Alasan yang cukup sinonim agar dapat ‘memberikan suntikan semangat selain meringankan beban kakitangan awam’.

Secara logik dan praktikal sejauh manakah suntikan semangat itu berkesan dan memenuhi matlamat? Mengapa dan sampai bila, beban serta masalah kakitangan awam perlu ditanggung kerajaan? Bukankah mereka semua menerima imbuhan yakni gaji yang berpatutan dengan taraf jawatan serta pendidikan masing-masing. Perlu difahami secara tidak langsung pemberian bonus ini umpama ‘subsidi’ tunai tambahan kepada kakitangan awam selain pelbagai kemudahan disedia dan diberikan. Belajarlah hidup ‘berdikari’ dan memikirkan bagaimana hendak menyelesaikan masalah sendiri. Berbelanjalah mengikut kemampuan dan keperluan sewajarnya. Rezeki secupak tidak akan menjadi segantang, jika kita sendiri tidak berusaha menambahkannya. Pada saya tindakan berterusan mendesak kerajaan agar diberikan juga bonus, bukan langkah yang bijak. Ia dilihat lebih kepada tindakan berkepentingan sendiri. Kerajaan sudah menjelaskan dengan baik mengapa tidak boleh diberikan bonus. Sepatutnya semua kakitangan awam memahami dan menerimanya dengan baik. Namun, atas keprihatinan kerajaan ada juga ‘sagu hati’ dan insentif lain diberikan. Janganlah nanti dikatakan tidak tahu berterima kasih. Sepatutnya, semua pihak bersyukur dan bukan terus mendesak dan mencari kesalahan pihak lain. Jika berdasarkan alasan itu, bukan semua kakitangan awam layak dan patut menerima bonus. Saya menyokong penuh pemberian bonus, tetapi ia harus diberikan hanya kepada mereka yang benar-benar layak. Mungkin boleh diguna pakai formula daripada swasta. Hanya kakitangan awam yang terbukti kuat bekerja dan rajin demi kemajuan, pembangunan dan keuntungan jabatan layak diberikan bonus.
PEGAWAI KANAN 44, Selangor.