Wednesday, October 5, 2011

Jawapan kepada bebanan rakyat

Jawapan kepada bebanan rakyat

BELANJAWAN 2012 semakin hampir, dan rakyat memandang kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat apakah bentuk bajet yang akan dibentangkan esok.

Apa yang paling utama bermain di fikiran rakyat kini adalah kadar kos hidup yang semakin meningkat yang memberi kesan berbeza terhadap majoriti penduduk.

Mereka yang mempunyai kadar pendapatan RM3,000 hingga RM5,000 sebulan di kawasan bandar turut merasai kesulitan untuk menguruskan kewangan masing-masing, apatah lagi mereka yang berpendapatan rendah, paling merasai bahangnya.

Dahulu, RM100 cukup untuk membeli-belah di pasar raya untuk tempoh seminggu tetapi kini paling lama ia bertahan tidak lebih dua hari. Harga makanan dan lain-lain keperluan asas turut melambung tinggi walaupun kerajaan berusaha untuk mengawal kadar harga. Kadar utiliti seperti elektrik yang meningkat menambah lagi beban kewangan kebanyakan masyarakat.

Warga emas juga tidak harus diketepikan dan amat memerlukan bantuan yang sewajarnya. Kebanyakan mereka sudah bersara wajib dan tidak mendapat peluang pekerjaan lain dan hanya bergantung kepada pencen KWSP untuk meneruskan kehidupan masing-masing.

Hidup menjadi lebih sukar untuk mereka dan ada yang bergantung hidup dengan anak-anak yang masing-masing turut mempunyai kesukaran dalam menjalankan kehidupan seharian.

Subsidi masih diperlukan, tetapi usaha harus ditegaskan supaya ia lebih efektif dan efisien, contohnya untuk melindungi kepentingan golongan berpendapatan pertengahan dan rendah. Umpamanya subsidi kepada petroleum RON 95 perlu dikekalkan tetapi pihak kerajaan boleh mengenakan cukai jualan/eksais yang lebih tinggi terhadap kenderaan mewah. Langkah ini juga dapat membantu mengurangkan kadar pencemaran dan pembaziran minyak.

Kerajaan telah lama berhajat untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam tetapi hasilnya masih tidak merangsangkan. Ia masih dibelenggu masalah tidak menepati masa dan sistem penghawa dingin tidak berfungsi.

Salah satu alternatif yang boleh diamalkan oleh kerajaan adalah memberi subsidi atau geran kepada kerajaan tempatan untuk menjalankan perkhidmatan bas. Langkah lain termasuklah menambah laluan bas, pas bulanan yang lebih murah, dan sebagainya. Pada masa ini, banyak syarikat bas membayar pemandu berdasarkan bilangan perjalanan. Secara tidak langsung, ini akan menggalakkan mereka untuk membawa bas dengan laju serta bekerja lebih masa tanpa mengambil kira daya tahan mereka.

Dengan itu, pemandu bas perlulah dibayar berasaskan gaji asas ditambah dengan komisen berdasarkan penumpang yang dibawa dan bukannya berdasarkan bilangan perjalanan untuk mengelakkan pemanduan melebihi had laju.

Untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, gaji penjawat awam seharusnya dinaikkan. Bagaimanapun, ia memerlukan satu kajian yang dibuat dengan terperinci. Namun demikian, produktiviti dan kecekapan penjawat awam perlulah meningkat dengan kenaikkan gaji. Dalam pada itu, proses kerja patut dikaji semula ke arah pengurangan birokrasi serta mempertingkatkan multitasking.

Di samping itu, inovasi dan kreativiti perlu digalakkan dalam budaya kerja dengan memberi ganjaran yang sewajarnya kepada penjawat awam yang berinovasi dan kreatif. Dalam hal ini, ia bukan bergantung kepada pemberian anugerah inovasi. Langkah lain yang patut diambil kerajaan adalah menjadikan proses mematen sesuatu inovasi atau ciptaan lebih mudah dan murah. Pada masa ini, proses ini terlalu rumit dan mengambil masa lama serta melibatkan kos yang agak tinggi.

Salah satu NKRA yang ditumpukan kerajaan adalah pada golongan miskin di kawasan luar bandar. Malangnya, golongan miskin di kawasan bandar telah diabaikan. Oleh itu, kerajaan tidak boleh mengabaikan mereka dan mereka perlu dibantu melalui program khusus untuk meningkatkan pendapatan dan kebajikan mereka.

Pembiayaan pendidikan kanak-kanak terutamanya di kalangan berpendapatan rendah biasanya menelan sebahagian besar pendapatan mereka. Apa-apa usaha untuk mengurangkan perbelanjaan mereka akan dihargai.

Dari segi perumahan pula, Program Perumahan 1Malaysia untuk pembeli rumah kali pertama dengan pendapatan tertentu (iaitu antara RM3,000 hingga RM5,000) adalah idea yang amat baik. Kita seharusnya mendapatkan lebih ramai pemaju perumahan untuk terlibat dalam program ini dengan memberi insentif seperti pelepasan cukai atau membekalkan tanah yang lebih murah kepada mereka. Dengan penglibatan lebih ramai pemaju, lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana akan dapat disediakan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Kedai 1Malaysia merupakan satu konsep kedai yang perlu diperluaskan.

Pelepasan cukai peribadi perlu dinaikkan dari RM9,000 ke RM10,000. Ini akan memberikan lebih manfaat kepada golongan berpendapatan pertengahan. Golongan ini tidak sepatutnya diabaikan ketika kerajaan cenderung membantu golongan miskin.

Pada masa ini, kos prasekolah persendirian adalah tinggi. Biasanya, mereka yang mempunyai anak di prasekolah terdiri daripada pasangan muda yang tidak berpendapatan tinggi, yang mana memberikan implikasi terhadap kedudukan kewangan mereka. Pelepasan cukai untuk mereka yang mempunyai anak di prasekolah perlu ditingkatkan, contohnya, di antara RM1,000 - RM2,000.

Memandangkan barangan makanan merupakan salah satu isu utama kenaikan harga, kerajaan perlu bersedia melabur lebih di dalam sektor pertanian dan pengusahaan makanan bagi menyelesaikan masalah makanan yang makin meruncing di Malaysia.

Pihak kerajaan juga perlu menggalakkan rakyat dengan menyediakan benih dan lain-lain insentif membantu mereka menanam sendiri sayur-sayuran bagi mengurangkan permintaan barangan makanan yang tinggi di pasaran.