Wednesday, July 15, 2009

Remaja rugi kejar glamor sekelip mata

PROGRAM realiti hiburan Mentor musim ke 3 menutup tirai di mana Black atau Hanifah Mohd Hanafiah dinobatkan sebagai juaranya bagi musim ini. Sebelum ini juga program berbentuk hiburan yang sama seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Bintang RTM juga berakhir dan program Oh La La juga berbentuk hiburan nyanyian memasuki peringkat akhir hanya menunggu masa saja untuk menabalkan juara dalam hiburan nyanyian.

Bermacam lagi program hiburan yang boleh ditonton melalui kaca televisyen sama ada percuma atau berbayar menjadi rebutan dan minat semua peringkat umur golongan remaja bagi mencungkil bakat dalam bidang nyanyian ataupun lakonan.

Rancangan begini kini menjadi rebutan dan pilihan tinggi dari bangsa Melayu/ Bumiputera sama ada mereka yang masih bersekolah di peringkat rendah dan menengah mahupun yang habis belajar. Hadiah wang tunai yang ditawarkan amat lumayan dan juga hadiah iringan seperti rumah, kereta, barang kemas serta kehidupan yang penuh glamor dan menjadi perhatian masyarakat menjadi faktor utama penyebab ramai anak muda yang sepatutnya berada di bangku sekolah, kolej ataupun universiti memilih jalan mudah untuk menjadi artis.

Semua ini boleh dimiliki tanpa perlu bersusah payah menelaah pelbagai buku, membuat kajian, berjumpa pensyarah, berulang alik ke perpustakaan bertahun-tahun yang kejayaan atau pulangan tidak setimpal dengan kudrat yang dicurahkan.

Lebih menghairankan ialah ibu bapa datuk, nenek dan seluruh saudara mara bersama-sama terkinja-kinja bertepuk memberi sokongan tanpa ada perasaan malu kemudian turut sama menangis jika pujaan mereka tewas. Budaya orang timur yang tinggi sudah tidak lagi menjadi amalan, berpeluk gembira dan sedih antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim menjadi perkara biasa dan boleh pula ditonton secara langsung oleh seluruh masyarakat Malaysia.

Ahli panel yang menjadi juri bercakap sudah tidak ada budi bahasa dan menghormati antara satu sama lain dengan menggunakan perkataan yang agak kasar (dapat ditonton melalui jurnal yang ditayangkan).

Alangkah ruginya negara jika semua anak muda berfikiran sebegini. Nampaknya agenda pihak tertentu untuk melalaikan masyarakat Melayu / Bumiputera kita dengan hiburan dan kebendaan hampir berjaya. Saya bukanlah anti-hiburan tetapi pada pendapat saya hiburan yang ada sekarang sudah terlalu banyak hingga kita sudah lupa matlamat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan yang mana kita masih jauh ketinggalan berbanding bangsa lain dari pelbagai segi terutamanya ekonomi dan lain-lain yang memerlukan perhatian sokongan dan bantuan.

Oleh itu saya menyeru kerajaan dan mereka yang terbabit dalam industri hiburan agar mengurangkan rancangan sebegini dan tidak perlulah diadakan setiap tahun.

Hasrat Perdana Menteri untuk melahirkan satu bangsa Malaysia yang sama - sama berjaya mungkin tidak kesampaian jika hiburan menjadi pilihan orang Melayu dan Bumiputera.

No comments:

Post a Comment