Thursday, April 1, 2010

Ahli Ibadat dan Iblis

Tersebut didalam Kitab Ihya Ulumuddin karangan Al Imam Al Ghazali sebuah kisah seperti berikut :Ada seorang ahli ibadat yang mengabdikan dirinya kepada Allah bertahun-tahun lamanya. Pada suatu hari datang kepadanya satu kumpulan manusia, mereka membuat pengaduan bahawa ada sebatang pokok yang disembah oleh orang. Ahli ibadat itu marah mendengar cerita adanya manusia yang menyembah selain daripada Allah itu. Ia pun keluar membawa kapaknya menuju pokok tersebut untuk ditebangnya.Dalam perjalanan ia berjumpa Iblis yang menyerupakan dirinya sebagai orang tua, Iblis itu menghampirinya dan bertanya “ Tuan hendak kemana ? “ . Ahli Ibadat itu menjawab “ Saya hendak menebang pokok itu. Iblis itu berkata apa hubungan tuan dengan pokok itu, tuan tinggalkan ibadat tuan dan pekerjaan tuan, dan membuang masa pula kepada perkara yang lain ”. Ahli Ibadat itu menjawab” Ini pun merupakan ibadat juga”,Iblis itu menjawab “ Saya tidak akan membiarkan tuan menebang pokok itu”. Iblis pun merempuh Ahli Ibadat itu, maka terjadilah pergelutan, Iblis rebah dan terlentang, dan Ahli Ibadat itu pun duduk diatas dada Iblis itu. Iblis itu merayu “lepaskan aku, aku mahu bercakap dengan tuan “. Ahli Ibadat itu pun bangun.Kemudian Iblis pun berkata “ Bahawasanya Allah telah melepaskan tuan daripada tanggungjawab tuan dalam perkara ini, dan Allah tidak mewajibkan perkara ini kepada tuan, tuan bukan menyembahnya, apalah tuan susahkan dengan perbuatan orang lain. Allah Taala melantik nabi-nabi diatas muka bumi ini, jika Allah berkehendak, Allah mengutus Nabi-nabi kepada penduduk bumi ini, dan Allah memerintahkan Nabi-nabi itu untuk menebang pokok tersebut “. Ahli Ibadat itu menjawab “ Aku mesti menebangnya.”Iblis itu terus merempuh Ahli Ibadat itu.
IBLIS KALAH LAGI
Dalam perkelahian pusingan kedua ini Ahli Ibadat itu menang lagi. Kemudian Iblis itu berkata “ Ada sesuatu yang boleh menyelesaikan antara saya dengan tuan, dan sesuatu itu adalah lebih baik kepada tuan dan lebih bermanfaat kepada diri tuan “ Ahli ibadat itu bertanya “ Apa dia? “ Iblis menjawab “ Lepaskan saya dahulu nanti saya memberitahu tuan”. Ahli Ibadat itu pun melepaskan Iblis.Kemudian Iblis pun berkata “ Tuan seorang yang miskin, tidak memiliki apa-apa, tuan bergantung hidup kepada orang lain, dan tuan mungkin suka memberi sesuatu kepada sahabat-sahabat tuan, dan ingin pula menolong jiran-jiran tuan, tuan boleh memenuhi keperluan-keperluan tuan, dan tuan tidak lagi berkehendak kepada pertolongan orang lain” Ahli Ibadat itu berfikir dan berkata “ Betul kata-katamu itu,” Iblis berkata “ Tinggalkanlah perkara ini, janganlah ditebang pokok ini, saya berjanji akan meletakkan dua dinar dibawah bantal dikepala tuan pada tiap-tiap malam, pada setiap pagi tuan boleh ambil kedua-duanya, tuan boleh berbelanja untuk diri tuan dan untuk keluarga tuan, dan tuan boleh bersedekah dan membantu sahabat-sahabat tuan. Cara ini adalah lebih bermanfaat kepada diri tuan dan kepada sahabat-sahabat tuan, daripada menebang pokok ini, yang mana pokok ini jika ditebang, ia tidak akan mendatangkan mudharat kepada mereka, dan juga ia tidak akan mendatangkan manfaat kepada sahabat-sahabat tuan.”Ahli ibadat itu berkata “ Betul kata-kata tuan itu, aku bukan Nabi, tidaklah wajib keatasku untuk menebang pokok itu, dan Allah tidak memerintahkan aku untuk menebangnya,dan aku tidaklah berdosa jika aku tidak menebangnya.” Kemudian mereka pun berteguh janji mengenai dengan tawaran Ibis itu.akhirnya kembalilah Ahli Ibadat itu ketempatnya meneruskan ibadatnya.
IBLIS MENANG
Apabila menjelang suboh pada esoknya, terletak dua dinar dibawah bantal dikepala Ahli Ibadat itu, wang itu diambilnya, esoknya pun demikian juga yang terjadi. Tetapi pada hari yang ketiganya dan hari-hari berikutnya tidak didapatinya wang dua dinar itu lagi. Ahli Ibadat itu pun marah, ia segera mengambil kapaknya dan berjalan menuju kearah yang berkenaan.Dipertengahan jalan Iblis menjumpainya dan bertanya “ Tuan mahu kemana ?” Ahli Ibadat itu menjawab “ Saya mahu tebang pokok itu “. Iblis berkata “ Tuan bohong, tuan tidak akan berdaya untuk menebangnya”. Kemudian Ahli Ibadat itu memegang Iblis tersebut untuk direbahkan sebagaimana yang berlaku dalam perkelahian yang dahulu. Tetapi keadaanya adalah terbalik, Iblis berjaya mengalahkan Ahli Ibadat itu, Ahli Ibadat itu rebah dan terlentang, dan Iblis duduk diatas dada Ahli Ibadat itu, kemudian Iblis berkata “ Berhentilah tuan daripada berniat untuk menebang pokok kayu ini, jika tidak, saya bunuh tuan”.
KEPENTINGAN SENDIRI
Ahli Ibadat itu memerhatikan keadaan, ia tidak berdaya untuk melepaskan dirinya, kemudian ia pun berkata “ Tuan berjaya mengalahkan saya, lepaskanlah saya. Tolong beritahu saya, bagaimana saya boleh mengalahkan tuan dalam perkelahian yang terdahulu? .Dan bagaimana pula tuan boleh mengalahkan saya dalam perkelahian pada kali ini ? “ Iblis itu menjawab “ Pada mula-mulanya tuan marah ialah kerana Allah, dan niat tuan semata-mata untu Akhirat. Maka Allah Subhanahu Wataala memberi kemudahan kepada tuan untuk mengalahkan saya, tetai pada kali ini tuan marah ialah untuk kepentingan diri tuan, dan untuk kepentingan dunia, kerana itu saya berjaya mengalahkan tuan.”
Kisah ini memberi gambaran kepada kita mengenai dengan kedudukan niat kerana Allah, dan niat bukan kerana Allah.
Wallahua’lam bisawab………

No comments:

Post a Comment