Tuesday, August 24, 2010

Gubal kurikulum bakal pemandu guna kereta automatik dalam ujian

Gubal kurikulum bakal pemandu guna kereta automatik dalam ujian
LANGKAH penggubalan semula kurikulum memandu yang membenarkan penggunaan kereta automatik bagi ujian memandu kereta seperti yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara membangun adalah relevan dengan masa kini. Pada pandangan saya penggunaan kereta automatik di negara ini ibarat menukar pelita kepada lampu elektrik. Pengalaman saya memandu menggunakan kereta manual ketika kesesakan lalu lintas amat meletihkan dan saya akhirnya menukar kepada kereta automatik dan ia lebih mudah.
Selain itu, memandu menggunakan kereta automatik lebih mudah dan ini memberi kemudahan bagi wanita dan warga tua yang kurang mahir mengendalikan kereta manual. Saya juga turut bersimpati dengan nasib kawan saya yang terpaksa menghabiskan hampir beribu ringgit untuk mendapatkan lesen kerana tidak mahir dalam menggunakan kereta manual.
Keadaan itu menyebabkan kawan saya berputus asa dan terpaksa mengambil dan menghantar anak ke sekolah menggunakan kereta automatik tanpa lesen ketika suami bertugas di luar kawasan. Bukan kawan saya tiada inisiatif untuk mengambil lesen tetapi kelemahan menggunakan kereta manual menjadi penghalang. Kebanyakan wanita memang kurang mahir menggunakan kereta manual dan terpaksa menduduki ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) beberapa kali untuk lulus. Seperti saya yang mengambil ujian sebanyak tiga kali untuk lulus. Ini juga membebankan bagi yang kurang kemampuan berikutan yuran yang tinggi. Apa yang dapat dilihat sekarang kebanyakan yang lulus ujian memandu cenderung untuk menggunakan kereta automatik. Ini menunjukkan apa yang dipelajari ketika belajar memandu kereta manual seolah-olah hanya syarat untuk mendapatkan lesen sedangkan apabila lulus membawa kereta automatik. Langkah mengubah sistem kenderaan ini ternyata lebih berkesan kerana selain mampu mengurangkan keletihan pemandu ketika memandu, ia juga mampu menghalang pemandu memandu dengan agresif di jalan raya. Kemalangan jalan raya yang berlaku selalunya berpunca daripada sikap pemandu sendiri bukan kerana jenis kereta yang dibawa. Pasaran kereta masa kini banyak memperkenalkan model baru yang kebanyakan memperkenalkan kenderaan auto ke pasaran mereka. Seharusnya pihak pengangkutan khasnya JPJ menurut langkah pasaran itu. Oleh itu, saya berharap agar pihak kerajaan dan Kementerian Pengangkutan dapat meluluskan kokurikulum baru ini dengan cepat dan dapat membenarkan penggunaan kereta automatik dalam ujian memandu bagi memberi kemudahan bagi pihak yang kurang mahir menggunakan kereta manual terutama wanita dan warga tua yang ingin mendapatkan lesen memandu.
INTAN,
Selangor.

No comments:

Post a Comment