Friday, September 17, 2010

'Hantar maklumat ke laman Facebook saya jika takut buat laporan": Khalid

'Hantar maklumat ke laman Facebook saya jika takut buat laporan": Khalid

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyelewengan anggota polis di negeri itu tetapi tidak berani membuat laporan supaya menyalurkan maklumat berkenaan ke laman Facebook beliau. Khalid berkata orang ramai mungkin takut diancam atau diugut jika laporan yang dibuat diketahui oleh anggota yang menyeleweng tetapi ini tidak akan berlaku jika ia disalurkan terus kepada beliau.
"Orang ramai tidak perlu takut melaporkan sebarang penyelewengan anggota polis kepada pihak berkuasa...kalau tak berani, terus berhubung dengan saya.
"Bagaimana sesuatu penyelewengan itu hendak disiasat jika tiada sebarang laporan yang dibuat dan jika benar ada penyelewengan berlaku kenapa takut untuk membuat laporan?," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini. Khalid diminta mengulas dakwaan terdapat anggota polis telah "dibeli" (dirasuah) oleh suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain bagi menutup kegiatan jahatnya. Semalam, Khalid meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat tentang kegiatan itu supaya melaporkan terus kepada beliau, Bukit Aman, atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Mengulas lanjut beliau tidak menafikan terdapat anggota polis yang bergaji kecil tetapi hidup mewah dan berkata unit tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau perkara berkenaan. "Unit tatatertib sendiri yang ditugaskan untuk menyiasat jika seseorang pegawai itu hidup mewah dibandingkan dengan gaji mereka. "Kita tidak akan melindungi mana-mana anggota mahupun pegawai yang menyeleweng," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment