Wednesday, May 27, 2009

Chin Peng tak dibenar pulang

intan taktau nak cakap ape pasal hal ni..
memang chin peng bekas musuh ketat negara..atau boleh dikatakan musuh dalam selimut, gunting dalam lipatanpun boleh...pengkhianat negara..
tapi intan rasa semuatu dah jadi sejarah..jadi apa lagi nak dikenang..?
biarkanla dia balik malaysia...jumpa sedara mara dia...sebab dia orang malaysia jugakan...
sebab dia orang melayu..?kan PM dah cakap ini gagasan 1Malaysia...jadi apa salahnya biarkan dia balik..?

Chin Peng tak dibenar pulang


PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, pulang ke Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menjelaskan, keputusan itu dibuat bagi mengelak timbul rasa tidak puas hati di kalangan anggota pasukan keselamatan dan keluarga mereka yang pernah menjadi mangsa kekejaman komunis ketika darurat.

"Kerajaan tidak akan benarkan Chin Peng balik ke Malaysia sebab ia akan menimbulkan rasa tak puas hati terutama kepada ahli keluarga mereka yang terkorban akibat kekejaman komunis pada waktu darurat dulu," katanya selepas mengumumkan pelantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), di pejabatnya semalam.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar sebelum ini mengenai saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan, supaya Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia.

Pada 30 April lalu, usaha terakhir Chin Peng @ Ong Boon Hua untuk mendapat pengisytiharan kebenaran masuk dan hidup di Malaysia gagal apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya.

Mahkamah turut mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum itu kerana Chin Peng gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri seperti arahan Mahkamah Tinggi bagi membuktikan dia berasal dari Malaysia dan dilahirkan di Sitiawan, Perak pada 1924 seperti didakwanya.

Saranan supaya Chin Peng kembali ke Malaysia dibantah pelbagai pihak termasuk persatuan bekas anggota tentera yang pernah bertempur dengan komunis ketika darurat termasuk yang kini cacat akibat jerangkap samar yang dipasang pengganas itu.

Kelmarin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata kerajaan mengesan ada parti politik dan pertubuhan tidak berdaftar cuba menyebarkan ideologi komunis di negara ini dengan cara tersembunyi.

Beliau juga berkata, usaha membawa Chin Peng ke Malaysia perlu ditentang kerana ia akan membangkitkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan keluarga lebih 50,000 anggota tentera dan polis yang terkorban menentang PKM ketika darurat.

Najib turut mengesahkan Ketua Wakalah Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari yang ditangkap polis Malaysia awal bulan kini dikenakan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Perdana Menteri berkata, lelaki itu adalah ancaman kepada keselamatan negara dan keputusan penahanannya adalah di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri mengikut lunas undang-undang.

Ditanya sama ada Mas Selamat akan diekstradisi ke Singapura, Najib berkata: "Buat masa ini dia ditahan di Malaysia".

Beliau berkata, penahanan Mas Selamat dilakukan bagi membolehkan pihak berkuasa Malaysia dan Singapura mendapatkan lebih banyak maklumat daripadanya.

Katanya, tindakan terhadap Mas Selamat adalah keputusan pihak berkuasa Malaysia dan beliau yakin Singapura juga akan mengambil tindakan sama jika lelaki terbabit ditahan di sana.

"Dia adalah ancaman kepada keselamatan negara dan kerana itu dia ditahan. Singapura juga berpendapat sama. Yang nyata dia adalah ancaman kepada keselamatan negara sama ada di Malaysia atau Singapura," katanya.

No comments:

Post a Comment