Wednesday, May 27, 2009

Peminjam tak bayar hutang dirantai, dilayan macam hamba

ni intan amik dari berita harian online...
kesimpulannya janganla pinjam duit kat along..
carila institusi kewangan yang sah...

Peminjam tak bayar hutang dirantai, dilayan macam hamba

SUBANG: Bagaikan hamba abdi - demikian keadaan tiga lelaki mangsa along yang dirantai dan dikurung dalam dua 'lokap' di tingkat bawah sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan PBS 14/2, Pusat Perindustrian Bukit Serdang di sini, sebelum diselamatkan polis petang semalam.

Seorang daripada 'banduan' along itu ditahan sejak dua bulan lalu, seorang lebih sebulan manakala seorang lagi kira-kira 10 hari. Ketiga-tiga mereka diikat dengan rantai besi pada leher, tangan dan kaki ke sebatang tiang dalam 'neraka' itu.

Tiga lelaki itu, yang amat lemah dengan kesan lebam dan luka, dipercayai dirotan di beberapa bahagian badan kerana membuat bising atau cuba menarik perhatian orang ramai di luar bangunan supaya menyedari mereka dikurung.

Mereka hanya diberi sebuku roti seorang sebagai makanan selama seminggu, manakala air minuman disalurkan dari paip tandas yang dibina khusus untuk lokap berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata serbuan ke bangunan itu dibuat pada jam 2.30 petang susulan penahanan dua along di depan sebuah bank di Desa Jaya, Kepong kira-kira tiga jam sebelum itu.

Ketika ditahan kedua-dua suspek berusia 30 dan 33 tahun itu dipercayai baru selesai menjalankan urus niaga berkaitan pinjaman.

"Selepas disoal siasat, mereka membawa polis ke premis rahsia itu, yang dipercayai digunakan sebagai lokap untuk menahan dan mendera peminjam yang gagal membayar hutang. Ketiga-tiga mangsa itu ditemui dengan tangan, kaki dan leher mereka dirantai dalam sebuah bilik di belakang premis itu. Keadaan mereka amat teruk selepas dibelasah tanpa perikemanusiaan.

"Kami terpaksa meminta bantuan anggota bomba dan penyelamat kerana tidak mempunyai peralatan untuk memotong rantai mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam. Hadir sama Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar.

Abdul Rahim mengesahkan semua mangsa yang ditahan itu dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing di Kajang, Gombak dan Segamat, Johor, termasuk seorang sejak 10 April lalu.

"Siasatan awal mendapati mangsa itu hanya berhutang antara RM1,500 dan RM4,000, tetapi mereka dilayan seperti anjing hanya kerana gagal menjelaskan pinjaman," katanya. Semua mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan kesihatan.

Tinjauan Berita Harian mendapati anggota bomba dan penyelamat terpaksa menggunakan mesin pemotong besi serta masa kira-kira dua jam untuk menyelamatkan semua mangsa dari lokap di dalam premis yang tidak mempunyai sistem pengudaraan sempurna itu.

Mangsa pertama hanya dapat diselamatkan kira-kira jam 6.30 petang, kira-kira empat jam selepas mereka dijumpai manakala dua lagi dilihat keluar bangunan itu 10 minit kemudian sambil diiringi pasukan perubatan.

Salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Lim, 49, dari Kajang, berkata dia diculik along di sebuah pasar raya di Semenyih, selepas perbincangan untuk menyelesaikan hutangnya tidak dapat diselesaikan, pada 10 April lalu.

"Sejak hari itu, saya sering dipukul malah diperlakukan seperti anjing kurap hanya kerana hutang sebanyak RM800," katanya sambil menangis dan terlalu lemah hingga tidak berdaya untuk berdiri sendiri.

No comments:

Post a Comment